Pernahkah anda terfikir jika guru tadika anak-anak anda adalah seorang lelaki? Si tegap yang menyambut kedatangan anak anak di pintu pagar sekolah dengan senyuman mesra, mengajar dengan penuh dedikasi dan sabar melayan keletah anak-anak yang pelbagai ragam.

Pasti ada yang tersenyum kambing memikirkan situasi ini bukan? Entri kali ini mahu mengajak anda semua berfikir di luar norma masyarakat Malaysia yang sering menganggap kerjaya guru tadika sebagai kerjaya ideal untuk wanita sahaja.

Mengapa wanita? Secara amnya, wanita sering dikaitkan dengan ciri-ciri feminin seperti lemah lembut, penyabar dan penuh dengan kasih sayang. Hal ini sekaligus meletakkan wanita sebagai figura yang paling ideal untuk menjadi seorang guru. Namun, adakah ini bermakna tiada lelaki yang memiliki sifat sedemikian? Adakah lelaki tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai guru tadika seperti wanita? Jika difikirkan semula, tugas sebagai guru tadika bukanlah tugas yang mudah, guru perlulah mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang tinggi. Mana tidaknya bak kata pepatah menjaga lembu sekandang lebih mudah berbanding menjaga anak seorang. Bayangkan seorang guru terpaksa melayan sepuluh pelajar yang belum cukup matang untuk mendengar segala arahan. Kalau salah cara, mahu sakit kepala.

Kita sering dimomokkan dengan ideologi ketidakadilan gender (gender inequality) yang lebih menekankan ketidakadilan terhadap wanita dalam pelbagai sudut. Namun sering kita terlepas pandang bahawa lelaki juga dihimpit dalam situasi yang sama iaitu mereka jarang sekali diberi peluang untuk menceburi bidang pekerjaan yang didominasi wanita (pink collar job) seperti guru tadika, jururawat, setiausaha dan sebagainya. Kesannya wujud ‘gender gap’ yang jelas dalam bidang kerjaya tertentu. Kenapa? Kurang gagah ke jika lelaki berkerjaya dalam bidang ‘pink collar’?.

Kaum lelaki di luar sana, sanggupkah anda untuk menjadi seorang guru tadika?

 

FAZ FADZIL

Education Consultant at ALFA and Friends

Leave a Reply