“Tidak ada cara untuk mengharapkan seorang kanak-kanak memahami perkara yang berkaitan dengan wang melainkan jika anda bercakap mengenainya” – Neale Godfrey, penulis buku ‘Money Doesn’t Grow on Trees: A Parent’s Guide to Raising Financially Responsible Children

Dalam kehidupan seharian kita, wang sering dianggap sebagai topik yang agak sensitif untuk dibincangkan sama seperti topik yang berkaitan dengan politik, agama, seks, dan juga kematian. Ramai ibu bapa teragak-agak untuk membincangkan perkara tersebut.

Pengetahuan tentang kewangan perlu dipupuk sejak kecil lagi, bukan sahaja untuk orang dewasa tetapi kanak-kanak juga perlu belajar bagaimana untuk membuat keputusan tentang kewangan dan juga bertanggungjawab mengenainya.

Satu kajian yang dibuat oleh pelajar dari Universiti Cambridge menganggap bahawa pengetahuan tentang kewangan dalam kanak-kanak terbentuk seawal usia mereka 7 tahun.

Pengurusan Kewangan Kanak-Kanak | ALFAandFriends

Pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam memupuk pengetahuan tentang pengurusan kewangan dalam kalangan kanak-kanak. Antara pihak yang terlibat serta memberi impak yang kuat dalam hal ini adalah ibu bapa dan juga tadika atau prasekolah.

Ibu bapa perlu menerangkan kepada anak mereka kepentingan pengurusan kewangan dalam kehidupan seharian. Ibu bapa boleh mengaitkan nilai wang yang diberikan dengan jumlah perbelanjaan mereka setiap hari. Adakah wang yang digunakan oleh mereka itu lebih kepada membeli barangan kepentingan daripada keperluan?

Kanak-kanak juga perlu tahu bagaimana seseorang itu perlu bekerja untuk mendapatkan wang dan bagaimana kerjaya mampu mempengaruhi nilai pendapatan seseorang. Hal ini secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita mereka.

Pengurusan Kewangan Kanak-Kanak 2 | ALFAandFriends

Seterusnya, ibu bapa harus mula memberikan elaun kepada kanak-kanak sebaik sahaja mereka sudah tahu cara untuk mengira wang. “Alat yang paling asas untuk mengajar kanak-kanak mengenai wang adalah dengan menawarkan elaun,” kata Kathleen Grace, penulis buku ‘Prince not so charming’. Katakan kepada mereka tentang idea bagaimana membuat anggaran dan penjimatan.

Sebagai contoh, kanak-kanak diberikan tabung yang lutsinar supaya mereka dapat melihat sendiri penambahan wang jika mereka menabung dan pengurangan wang jika mereka mengeluarkannya untuk membeli sesuatu seperti alat permainan dan sebagainya.

Pengurusan Kewangan Kanak-Kanak 3 | ALFAandFriends

Selain itu, pihak tadika atau prasekolah juga memainkan peranan penting dalam menerapkan kepentingan pengurusan kewangan dalam kalangan kanak-kanak. Tajuk wang juga merupakan salah satu silibus penting dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi mata pelajaran Matematik.

Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak perlu diterapkan dengan pengenalan, kegunaan secara beretika serta pengurusan wang secara bertanggungjawab di sekolah juga bukan di rumah sahaja.

Salah satu aktiviti yang dijalankan dalam program Euler Maths oleh ALFA & Friends bagi memperkenalkan nilai wang adalah dengan menyamakan nilai wang dengan objek yang dapat dilihat. Hal ini kerana nilai wang adalah sesuatu yang abstrak. Kebarangkalian untuk kanak-kanak memahaminya adalah agak sukar.

Di samping itu, kanak-kanak juga dapat menambah pengetahuan baharu seperti perbezaan nilai wang kertas dengan wang syiling serta mengira jumlah barangan yang dibeli berdasarkan jumlah wang yang mereka ada. Hal ini secara tidak langsung memberi pencerahan dan pemahaman kepada kanak-kanak bahawa nilai adalah penting jika kita ingin membeli sesuatu.

Kesimpulannya, mengajar kanak-kanak mengenai wang adalah penting. Ibu bapa dan pihak tadika atau prasekolah perlu lebih kerap berbual mengenai pengurusan wang dalam kalangan kanak-kanak. Ibu bapa juga boleh berkongsi dengan mereka sebanyak mungkin pengetahuan bagaimana untuk mengendalikan wang secara berhemat kerana mereka merupakan tonggak generasi akan datang. Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat buat kita semua.

Leave a Reply