fbpx

Cart

Pengaturcaraan komputer atau lebih dikenali dengan istilah inggerisnya ‘coding’ merupakan satu subjek dan pilihan kerjaya yang popular dalam zaman teknologi informasi digital kini. Tidak hairanlah ramai ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka menyemai minat dalam subjek coding ini sejak peringkat awal lagi.

 

Di sini, kami ada memberi senarai panduan untuk membantu anak-anak mempelajari subjek coding dengan cara yang mudah dan menyeronokkan;

1. Gunakan kaedah visual

Konsep coding mungkin sedikit kompleks untuk pemahaman kanak-kanak. Jadi, gunalah kaedah visual seperti gambar dan diagram untuk menerangkan konsep asas coding. Sebagai contoh, anda boleh gunakan kad imbas gambar haiwan untuk menerangkan konsep susunan.

 

Selain itu, anda juga boleh mendedahkan kanak-kanak dengan perisian coding yang mudah dan interaktif seperti ScratchJr, Blockly atau Tynker. Perisian-perisian ini menggunakan blok tarik-dan-letak sebagai bahasa visualnya, yang membolehkan kanak-kanak memahami logik coding secara langsung dan mudah.

Gambar: Perisian coding ScratchJr mempunyai visual yang menarik dan mudah difahami.

2. Permainan

Permainan yang berunsurkan penyelesaian masalah, susunan objek dan kombinasi logik juga dapat melatih konsep asas coding. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan permainan video Minecraft atau permainan fizikal seperti Code-a-Pillar, Robot Turtle dan Bee-Bot yang menggunakan konsep coding yang cukup mudah untuk kanak-kanak.

Gambar: Code-a-Pillar merupakan satu permainan menyeronokkan dari Fisher Price yang menggunakan kaedah sambungan segmen untuk menukar arah pergerakannya.

3. Mulakan dengan konsep mudah

Sebagai pengenalan, anda boleh memilih konsep coding yang lebih mudah seperti susunan, ulangan, pola dan penyata bersyarat. Konsep-konsep ini merupakan blok asas pemrograman komputer dan akan membantu kanak-kanak memahami konsep yang lebih kompleks kelak.

 

Anda juga boleh menggunakan aktiviti hands-on untuk mengajarkan konsep-konsep ini. Contohnya dengan menyusun blok mengikut syarat tertentu atau mencari padanan objek dengan warna yang sama.

Gambar: Laman web teachyourkidscode.com menyediakan aktiviti hands-on dan lampiran-lampiran kerja yang menyeronokkan untuk anak-anak kecil belajar coding

4. Galakkan eksperimentasi

Galakkan kanak-kanak mencuba perkara baharu dan bereksperimen dengan permainan mereka. Biarkan sahaja mereka membuat kesalahan kerana mereka pasti akan belajar sesuatu daripadanya. Proses ini bukan sahaja dapat mendidik kemahiran menyelesaikan masalah, malah dapat meningkatkan keyakinan mereka terhadap kebolehan diri.

Gambar: Bereksperimen sambil bermain mampu melatih kemahiran otak untuk membandingkan hasil penemuan, mengelak berulangnya kesilapan dan menambah baik hasil keseluruhan.

5. Kaitkan dengan persekitaran

Gunakan contoh daripada persekitaran untuk menunjukkan bagaimana coding digunakan dalam kehidupan seharian anak-anak. Sebagai contoh, anda boleh menerangkan bagaimana sesebuah laman web dibuat, bagaimana permainan video kegemaran mereka direka, atau bagaimana alat permainan mereka diprogramkan.

Gambar: Sebahagian program coding turut mengaitkan pemrograman alat mainan bagi memberi pengalaman yang menyeronokkan untuk anak-anak kecil.

6. Utamakan keseronokan!

Akhir sekali dan yang paling penting, pastikan pembelajaran anak-anak diisi dengan keseronokan. Anda perlu ingat, anak-anak ini masih kecil dan penuh dengan minat untuk bermain. Gunakanlah kaedah yang lucu, kreatif dan penuh imaginasi untuk menarik minat anak-anak. 

Gambar: Momen yang menyeronokkan membuatkan pembelajaran lebih bermakna dan lebih lama tersimpan dalam ingatan.

Secara keseluruhannya, sebahagian kanak-kanak mungkin lebih cenderung kepada kaedah visual, manakala yang lain lebih berminat dengan kaedah hands-on. Selain itu, anda perlu sentiasa ingat bahawa kanak-kanak mempunyai daya fokus yang lebih singkat berbanding pelajar di usia remaja dan orang dewasa.

 

Jadi, pastikan anda sabar dan ambil sedikit masa untuk memahami keperluan dan kebolehan mereka.

Leave a Reply